Perbezaan Antara FREEHOLD Dan LEASEHOLD
FREEHOLD atau pegangan "Bebas" merupakan tanah di mana pemilikannya adalah untuk tempoh selama-lamanya (kekal). Ini bermaksud, pemilik tanah pegangan bebas memiliki tanah tersebut selamanya tanpa tertakluk kepada pengembalian semula kepada hak milik kerajaan (kecuali melalui pengambilan balik tanah oleh kerajaan). Didalam dokumen hakmilik muktamad "final title", pegangan bebas dikenali sebagai GERAN (sama ada Geran atau Geran Mukim). Geran merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Negeri manakala Geran Mukim merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan dan ditadbir oleh Pejabat Tanah dan Daerah.
LEASEHOLD atau pegangan berstatus "Pajakan" pula merupakan jenis pegangan ke atas hartanah untuk suatu tempoh yang telah ditetapkan. Pada masa ini tempoh pajakan yang biasa dilihat atau dikeluarkan oleh kerajaan negeri atau Pejabat Tanah adalah untuk 99 tahun. Ada juga persoalan yang bertanya apa akan terjadi selepas tempoh pajakan tersebut tamat? Jawapannya, tanah tersebut akan kembali menjadi hakmilik negeri. Walaupun begitu, ini jarang berlaku kerana kebiasaannya pemilik tanah kediaman akan diberikan peluang untuk memperbaharui atau memanjangkan tempoh pajakan tersebut dengan membayar sejumlah premium mengikut kadaran nilai tanah semasa. Sekiranya anda merupakan pemilik tanah jenis pajakan, anda tidak perlu menunggu sehingga pajakan tersebut tamat tempoh untuk memohon tetapi boleh mula memohon apabila tempoh pajakan tersebut semakin pendek (sekitar kurang 30-50 tahun) kepada Pejabat Tanah. Anda akan dimaklumkan mengenai jumlah premium yang perlu dibayar untuk permohonan tersebut dan perlu membuat pembayaran sebelum ianya diluluskan.
Oleh Putera Ambo
Baca penuh Di Sini