Malaysia & Property Bubble

Semalam saya berjumpa seorang kawan lama yang datang ke Melaka menjadi speaker satu seminar yang dianjurkan di sini. Seminar tersebut adalah berkaitan dengan muamalat Islam. Sahabat saya ini adalah seorang Ketua Penasihat Syariah di sebuah bank di Malaysia.

Kata beliau, seminar muamalat Islam sebegini perlu diperbanyakkan. Sekurang-kurangnya 2 hari bagi setiap satu kali penganjuran. Pemahaman muslim dan kesedaran tentang bahaya riba dan pentingnya bermuamalat secara patuh syariah adalah sangat rendah. Kata beliau setakat ini market share langganan terhadap produk bank yang patuh syariah adalah hanya sekitar 20% sahaja berbanding produk konvensional. Langganan terhadap pinjaman hartanah dan kenderaan adalah paling tinggi selain daripada kad kredit yang masih dalam kerangka produk konvensional yang tidak patuh syariah.

Saya juga bertanya kepada beliau tentang situasi ekonomi semasa berkaitan hartanah. Adakah terdapatnya kemungkinan fenomena 'Property Bubble' mungkin berlaku dengan situasi ekonomi yang perlahan ketika ini. Kata beliau fenomena sebegitu agak sukar berlaku walaupun kadaran property untuk pelaburan agak tinggi berbanding dengan permintaan pengguna akhir mendiami rumah atau lot kedai. Buat masa ini kata beliau, banyak pelaburan dalam hartanah dibuat oleh syarikat berbanding individu. 

Kebanyakkan syarikat ini adalah yang bukan dalam industri hartanah tapi dari pelbagai industri seperti makanan, trading dan lain-lain. Fenomena Property Bubble belum nampak tanda-tanda berlaku kerana walaupun hartanah yang mereka miliki ini tidak terjual atau disewakan, pemilik-pemilik hartanah ini masih mampu membayar instalment bulanan bank. Pendapat beliau ini adalah berkaitan dengan hartanah di Lembah Kelang. Tapi beliau tidak pasti adakah trend yang sama di kawasan lain.

Saya dapat buat sedikit kesimpulan dari perbincangan kami sekitar 20 minit semalam.

1. Banyak syarikat yang kaya mula melabur dalam hartanah bukan kerana mahu berkecimpung dalam hartanah. Mereka hanya mahu melabur dan sanggup bayar buta instalment bank tanpa disewakan atau dijual semula untuk keuntungan. Ini bermakna pembayaran ansuran bulanan itu bukan dari hartanah itu sendiri, tapi dari bisnes lain yang berjaya di tempat lain.

2. Sebenarnya memang ramai rakyat masih tidak mampu beli rumah terutama sekali di Lembah Kelang. Kemampuan sesetengah pihak yang boleh membeli hartanah yang mahal harganya menunjukkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan pertengahan adalah sangat besar. Berkemungkinan juga tiada istilah pertengahan di Lembah Klang. Hanya ada orang kaya dan orang miskin atau sangat miskin.

3. Property Bubble mungkin boleh berlaku hanya sekiranya bisnes-bisnes yang menampung kos-kos aset ini mengalami kemerosotan. Ya kemungkinan itu masih tetap ada walaupun trend buat masa ini ianya tidak begitu.

4. Masih ada ruang dan peluang kalau mahu invest dalam hartanah ketika ini. Dengan syarat kita punya backup bisnes yang kuat dan kalis dengan kegawatan ekonomi.

5. Beli dulu hartanah yang murah sebelum naik taraf ke kediaman yang lebih baik. Memulakan dengan membeli rumah murah adalah strategi terbaik buat masa ini. Ianya adalah lebih baik daripada tak beli langsung.

Oleh Abdul Halim Ismail 


Baca penuh Di Sini