Keputusan Akademik Bukan Pengukur Segalanya



Cerita motivasi-ulangan.

(Kau mahu jual nasi lemak saja?)

Dalam sebuah negeri antah berantah, ada sebuah sekolah orang pandai-pandai yang teramat pandai melebihi kepandaian sesiapa yang pandai di negeri itu.

Dalam satu perjumpaan pelajar Tingkatan 5, tuan pengetua memberi kata-kata hikmat dan kesumat supaya semangat pelajar membuak-buak umpama gunung berapi yang mahu meletus mahukan kejayaan.

"Kamu semua bakal memimpin bangsa. Kamu mesti belajar dan masuk universiti. Kerja bagus-bagus. Siapa di kalangan kamu mahu jadi doktor?". 10% angkat tangan. Tuan pengetua terus bertanya sehingga seorang si polan ini, namanya Zahid, masih tidak mengangkat tangan.

"Kamu mahu jadi apa, Zahid?" Tanya Tuan pengetua.
"Saya mahu jual nasi lemak", jawab Zahid. Jawapan Zahid disambung dengan gelak ketawa rakan-rakannya hingga gegak gempita hampir memecah dinding dewan.

"Woi, kau tak ada kerja lagi baguskah?" kata seorang rakannya.

"Zahid, belajar tinggi-tinggi, jual nasi lemak, haahaha", tambah rakannya.

"Oh, bagus. Saya mesti mahu rasa nasi lemak kamu", kata tuan pengetua sambil senyum. Zahid kembali bersemangat. Perjumpaan berakhir.

10 tahun berlalu..

Sekolah orang pandai-pandai mahu membina makmal ujikaji angkasa. Tuan pengetua melancarkan dana untuk mengutip sumbangan daripada para alumni sekolah.

Semua alumni pelajar mendapat surat. Ada yang mendiamkan diri, ada yang menyumbang. Ada yang merungut. Zaman sekarang, semua tidak cukup, GST, rumah mahal, kos hidup tinggi. Lagi mahu buat makmal baru.

Tuan pengetua pernah terserempak bekas pelajarnya yang rata-rata kelihatan sangat berjaya. Suatu hari, tuan pengetua terserempak dengan Zahid di tempat letak kereta shopping mall di negeri itu. Mereka berpelukan. Zahid hanya naik kereta kancil buruk. Terkunci mulut tuan pengetua mahu berkata tentang sumbangan.

Zahid mengajak tuan pengetua minum di kedainya. Terkejut tuan pengetua melihat kedainya. Ia jenama yang popular. Banyak cawangannya di negeri itu. Baru beliau tahu Zahidlah pengasasnya.

"Tuan mahu makan nasi lemak saya dulu. Jemput makan", kata Zahid

"Zahid, bisnes kamu okay?" tuan pengetua memulakan bicara.

"Alhamdulillah, banyak rezeki saya", jawab Zahid.

"Kancil yang kamu pakai itu, memang kamu punya?" tanya tuan pengetua.

"Ya, saya sayang mahu jual, ada banyak kenangan masa saya susah mulakan bisnes. Oh ya, tuan saya dapat surat tentang pembinaan makmal. Saya belum sempat ke sekolah", kata Zahid.

"Alang-alang jumpa tuan, saya berikan cek ini", tambah Zahid. Tuan pengetua melihat cek RM10,000 sambil berlinangan air mata.

Tuan pengetua memegang tangan Zahid sambil berkata, "sungguh saya tidak sangka kamu yang dulu diketawakan orang adalah yang paling murah hatinya".

"Sesungguhnya, kejayaan bukan dinilai pada pangkat dan darjat kita, tapi nilai apa yang kita bawa untuk menyumbang kepada masyarakat", tambah tuan pengetua sambil memeluk Zahid.

Oleh Nurul Ilyani Binti Munsarikh

Lihat Post Asal Di Sini