Oleh Putera Ambo
1. Freehold atau pegangan bebas merupakan tanah di mana pemilikannya adalah untuk tempoh selama-lamanya (kekal). Dalam erti kata mudah, pemilik tanah pegangan bebas memiliki tanah tersebut selamanya tanpa tertakluk kepada tanah tersebut kembali semula kepada hak milik kerajaan selepas sesuatu tempoh tertentu (kecuali melalui pegambilan balik tanah oleh kerajaan). Di dalam dokumen hakmilik muktamad (‘final title’), pegangan bebas dikenali sebagai GERAN (sama ada Geran atau Geran Mukim). Geran merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Negeri manakala Geran Mukim merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan dan ditadbir oleh Pejabat Tanah dan Daerah. Sebagai contoh, jika dokumen hakmilik itu dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Tanah Negeri maka ianya menggunakan No. Hakmilik seperti GERAN 1234 manakala jika ianya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah maka No. Hakmilik adalah seperti Geran Mukim 1234.
2. Leasehold atau pegangan berstatus Pajakan pula merupakan jenis pegangan ke atas hartanah untuk suatu tempoh yang telah ditetapkan. Pada masa ini tempoh pajakan yang biasa dilihat atau dikeluarkan oleh kerajaan negeri / Pejabat Tanah adalah untuk 99-tahun. Di negeri seperti Sabah & Sarawak, kita mungkin melihat tempoh pajakan yang lebih panjang manakala untuk hakmilik lama dan tujuan selain kediaman anda mungkin akan lihat pajakan untuk tempoh seperti 30 atau 60 tahun.
3. Rezab Melayu bermaksud sesuatu penempatan atau kawasan dimana hanya orang Melayu sahaja boleh menjual atau membeli hartanah itu. Pemilik hartanah tersebut tidak boleh jual dan beli kepada orang bukan Melayu atau bangsa asing. Disebabkan hanya orang Melayu sahaja boleh memiliki hartanah tersebut, maka Rezab Melayu nilainya kurang tinggi berbanding kawasan tanah berstatus Pegangan Bebas (Freehold). Terdapat sekatan-sekatan atau halangan terhadap transaksi tertentu untuk hartanah jenis ini. Kebiasaannya status tanah Rezab Melayu dinyatakan dalam geran hakmilik.
Semoga sedikit sebanyak info ringkas ini boleh dijadikan rujukan buat semua.
Baca penuh Di Sini