Sudah ramai yang sering berkongsi berkaitan panduan membeli rumah. Jadi disini ada satu perkongsian berkaitan panduan secara kasar berkenaan cara membeli tanah lot pula dari peringkat mengenalpasti tanah sehingga proses tukar nama. Antara perkara utama yang perlu anda lakukan:
1. Setelah mengenalpasti tanah yang hendak dibeli melalui iklan-iklan (Mudah.my, facebook, akhbar, flyers ataupun rakan-rakan), cuba hubungi individu ‘incharge’. Tanya serba sedikit mengenai tanah tersebut (lokasi, saiz, harga dsb). Kemudian aturkan temujanji untuk melawat tapak.
2. Melawat tapak tanah lot tersebut semasa sesi temujanji untuk memastikan tapak tersebut wujud.
3. Semasa sesi temujanji tersebut pastikan anda berjumpa berjumpa tuan tanah / wakil penjual tanah yang diiklankan. Pada masa ini tuan tanah / wakil penjual tadi sudah semestinya akan membawa dokumen (geran, contoh S&P, pelan dan lain-lain dokumen) untuk ditunjukkan kepada anda.
4. Semak geran yang original, pastikan tanah yang anda lihat itu sama kedudukan atau lokasi didalam geran. Kemudian semaklah pula nama pemilik tanah dan no kad pengenalan tuan tanah. Pada masa ini tanyalah apa sahaja berkaitan tanah tersebut, pastinya orang yang anda jumpa itu dapat menjawabnya.
5. Jika anda masih ragu-ragu, ambil no Geran dan no Lot tanah tersebut. Kemudian anda pergi sendiri ke Pejabat Tanah yang berkaitan dengan tanah tersebut untuk membuat Carian. Jika tanah di kawasan KB maka pergilah Pejabat Tanah KB untuk buat carian. Ini bagi memastikan geran yang ditunjukkan kepada anda adalah original dan pemilik yang sah. (Langkah 5 ini digunapakai jika anda ragu-ragu pada Langkah 4 tadi)
6. Pastikan samada tanah tersebut tanah lot geran individu / surat ikatan amanah. Tiada masalah pada kedua-duanya, ini adalah proses pembelian tanah lot. Jangan risau, samada lot geran individu / surat ikatan amanah, kedua-duanya sah menjadi tanah anda serta mengikat waris (keturunan) anda dan tanah ini boleh dibeli dan dijual semula pada bila-bila masa. Cuma proses yang berbeza ini adalah mengikut keadaan tertentu tanah tersebut.
7. Jika telah bersetuju proses seterusnya adalah untuk membayar ‘booking’ atau deposit. Pada masa ini anda perlu meminta dokumen pembayaran / resit (yang menyatakan no Geran, no Lot dan butiran didalam geran, salinan kad pengenalan penerima wang anda dan salinan geran.
8. Seterusnya proses tandatangan Perjanjian Jual Beli (S&P). Jika anda pernah berurusan dengan peguam, pada kebiasaannya diorang akan terus menyiapkan dokumen S&P ini pada Langkah 7 tadi. Bayar deposit dan terus tandatangan S&P. Ini untuk memastikan pihak pembeli terus mendapat perjanjian Jual Beli tersebut dan pembeli akan berasa lebih terjamin kerana didalam perjanjian itu segala butiran jual beli, bayaran deposit, baki bayaran ada dinyatakan (lebih selamat dan sudah ‘legal’).
9. Dalam tempoh tertentu bayaran penuh perlu dibuat. Siapkanlah ‘banker cheque’ untuk membuat bayaran penuh dan terus buat penyaksian Pindah Hakmilik pada hari yang sama di Pejabat Tanah yang berkenaan dan terus daftarkan permohonan tersebut. Proses keluar geran baru mengambil masa tidak lebih dari seminggu jika di Kelantan. Tetapi biasanya yang dilakukan perlukan masa 2 minggu untuk penyerahan geran terbaru takut-takut kekangan masa. Jangan risau pastikan anda buat proses Pindah Hakmilik dan didaftarkan. Setelah didaftarkan sudah pastinya tanah itu menjadi milik anda.
10. Akhir sekali minta salinan Geran / Surat Ikatan Amanah yang sudah didaftarkan dan pelan juruukur. Tanah ini sudah menjadi milik anda dan anda mempunyai dokumen yang sah. Anda kini bebas untuk membuat apa sahaja di tanah anda.
Nak bercucuk tanam, membina rumah, pecah lot atau sebagainya ianya terpulang kepada anda.
Itu sahaja sedikit sebanyak perkongsian berkenaan cara membeli tanah lot. Jangan malu untuk bertanya kepada sesiapa yang tak tahu tentang perkara ini. Ibarat kata, Malu Bertanya Sesat Jalan dan sila pastikan hak anda terjamin.
Oleh Putera Ambo
Baca penuh Di Sini